Write For Us

19 Feb sebutan semula kes guru pukul murid

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
119 Views
Published
Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 19 Februari untuk sebutan semula kes seorang guru yang didakwa mencederakan muridnya Ogos tahun lalu.
Majistret Hizween Azleena Othman Kamal menetapkan tarikh itu semasa sebutan semula kes Noor Idzahril Ahmad, 52, selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Uzair Abd Munir memohon tarikh baharu untuk penyerahan laporan perubatan murid lelaki Tahun 3 itu.
Pada 11 Dis lepas, Noor Idzahril mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa yang ketika itu berusia sembilan tahun di Kelas 3 Bestari Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa, Nibong Tebal di sini pada 10 pagi, 2 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding hari ini dijalankan secara tertutup.
Peguam tertuduh, Mohd Fadhly Yaacob, ketika ditemui di perkarangan mahkamah berkata dalam prosiding hari ini pihaknya memohon supaya kes itu dibuang berikutan sehingga kini pihak pendakwaan gagal mengemukakan laporan perubatan murid terbabit.
Beliau berkata pihak pembelaan berpendapat pertuduhan itu masih di peringkat pramatang dan masih terlalu awal untuk anak guamnya dihadapkan ke mahkamah.
"Laporan perubatan untuk kes ini masih lagi tidak dibekalkan walaupun hari ini sudah masuk kali ketiga sebutan semula kes. Asas kepada permohonan kami adalah kes yang melibatkan Seksyen 323 Kanun Keseksaan elemen kecederaan itu perlu ada daripada awal," katanya.
Beliau berkata sekiranya pihak pendakwaan masih gagal untuk mengemukakan laporan perubatan pada tarikh sebutan semula yang akan datang, pihak pembelaan akan memohon mahkamah supaya melepaskan tanpa membebaskan guru Bahasa Inggeris itu.
Terdahulu, lebih 100 penyokong Noor Idzahril berkumpul di perkarangan mahkamah sebagai tanda solidariti kepada guru itu. - BERNAMA
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment