Write For Us

Agong disambut selaku ketua negara baharu di Parlimen

Sponsored Post Vitamin D2 Canada Persia
97 Views
Published
Tiupan nafiri 14 anggota pasukan Istiadat Diraja Tentera Darat mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dataran Parlimen hari ini untuk istiadat sambutan rasmi selaku ketua negara baharu.
Keberangkatan tiba Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar disambut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Seri Paduka kemudian berkenan ke Pentas Diraja melintasi Pasukan Pengawal Tombak diiringi Perdana Menteri untuk menerima persembahan tabik ‘Hormat Diraja’ dari pasukan Kawalan Kehormatan Utama.
Serentak itu, lagu ‘Negaraku’ dimainkan oleh pasukan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Muhamad Nor AzizanYahya.
Pada masa sama, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das oleh pasukan 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja.
Seri Paduka kemudian berkenan berangkat memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi.
Istiadat itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, disusuli persembahan tabik 'Hormat Diraja' serta persembahan lagu Negaraku untuk kali kedua.
Diiringi kenderaan pengiring diraja, Seri Paduka berdua kemudian berangkat meninggalkan Dataran Parlimen ke Istana Negara di Jalan Tuanku Abdul Halim, Bukit Damansara, untuk Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa hari ini. Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara. - Bernama
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment