Write For Us

Belia perlu tepati ciri-ciri dicari majikan - Dr M

Sponsored Post Vitamin D2 Canada Persia
74 Views
Published
Dr Mahathir Mohamad mahu golongan belia tempatan memantapkan jati diri dan sikap bagi membantu mereka menepati ciri-ciri pekerja yang dicari majikan seperti komited, rajin, berdaya tahan dan boleh kerja berpasukan.
Menurut perdana menteri, ciri-ciri lain yang perlu ada dalam diri mereka ialah berkeinginan untuk belajar, kebolehan bekerja di bawah tekanan serta bersikap proaktif.
Beliau menyentuh perkara itu ketika menjawab soalan Ma'mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) di Dewan Rakyat hari ini mengenai usaha mengurangkan kadar pengangguran belia dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan.
Katanya, berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia, pengangguran belia dicatatkan pada kadar 10.9 peratus pada 2018.
"Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada pengangguran belia di Malaysia ialah ketidakcukupan kemahiran atau pendidikan, kekurangan pengalaman bekerja dan ketidakpadanan kemahiran," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Dr Mahathir menarik perhatian bahawa kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun di negara ini adalah fenomena biasa yang turut dihadapi negara membangun dan maju di dunia.
Beliau berkata golongan berkenaan dikatakan berada dalam proses transisi daripada alam pembelajaran kepada realiti pasaran pekerjaan.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata pengangguran di Malaysia pula dicatatkan pada kadar 3.3 peratus tahun lalu, masih di dalam kategori guna tenaga penuh .
"Mengikut takrifan Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD) 1999, negara yang mencatat kadar pengangguran di bawah empat peratus dikategorikan sebagai guna tenaga penuh," jelasnya.
Perdana menteri seterusnya berkata dalam usaha membantu rakyat termasuk belia mendapatkan pekerjaan, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha seperti menyediakan portal perkhidmatan pekerjaan JobsMalaysia yang berjaya menempatkan 3,890 pekerja bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
Beliau berkata kerajaan juga mewujudkan pusat sehenti bagi menyediakan khidmat nasihat profesional untuk mendapatkan pekerjaan dan latihan; mewujudkan program Graduate Enhancement Programme for Employability (Generate) bagi membantu graduan menganggur mendapat latihan dalam bidang berimpak tinggi; memperkemas dan memperluas program perantisan dan latihan industri selain mengukuhkan dan memperkasa Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
"Kesimpulannya, kerajaan dari semasa ke semasa akan menambah baik langkah-langkah sedia ada dan akan mewujudkan lebih banyak program atau mekanisme bagi membantu rakyat mendapatkan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran negara," kata Dr Mahathir.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment