Write For Us

Elak diisytihar muflis, buat ‘perkiraan sukarela’ - Azalina

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
91 Views
Published
Perkiraan sukarela di bawah Akta Insolvensi 1967 memberi peluang kepada golongan yang berisiko diisytihar muflis menyelesaikan hutang tanpa sebarang prosiding kebankrapan, sidang Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perkiraan sukarela tersebut juga merupakan mekanisme penyelamat yang dilaksanakan kerajaan bagi mengelakkan lebih ramai individu diisytiharkan bankrap.
“Mereka (individu) yang menyedari akan dikenakan tindakan mahkamah dan mungkin diisytihar bankrap perlu pergi ke Jabatan Insolvensi untuk membuat ‘voluntary arrangement’ (perkiraan sukarela) ini untuk membantu menyelesaikan hutang mereka.
“Menerusi perkiraan sukarela ini, ia akan memberi peluang kepada penghutang untuk menyelesaikan hutang dengan pihak pemiutang berdasarkan skim yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak, maknanya kedua-dua pihak akan dapat persetujuan untuk selesaikan hutang tersebut,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu langkah proaktif kerajaan yang diambil kerajaan bagi memberi pengurusan kewangan dalam kalangan golongan muda.
Azalina berkata langkah tersebut juga dapat mengelakkan lebih ramai individu diisytiharkan muflis pada usia muda.
“Sekiranya pihak yang berhutang gagal mengikut skim yang dipersetujui, pihak pemiutang boleh meneruskan prosedur kebankrapan terhadap individu tersebut,” katanya.
Menjawab soalan asal Sim Tong Him (Bebas-Kota Melaka), Azalina berkata sehingga Ogos tahun ini sebanyak 296,712 kes kebankrapan direkodkan dan daripada jumlah tersebut, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 72,114 kes, manakala Perlis mencatatkan jumlah terendah iaitu 1,037 kes.
Katanya, Jabatan Insolvensi Malaysia juga akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan persatuan bank di Malaysia dan pihak-pihak berkepentingan dalam masa terdekat untuk mencari jalan mengurangkan masalah kebankrapan kalangan rakyat negara ini, selain membantu mereka yang menghadapi masalah keberhutangan yang serius.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment