Write For Us

Jho Low nafi beri sumbangan untuk Trump

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
71 Views
Published
Jabatan Kehakiman AS (DOJ) sedang menyiasat sama ada ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa banyak negara, Jho Low, berada di belakang derma bernilai AS$100,000 untuk sebuah jawatankuasa pengumpulan dana yang ada kaitan dengan Presiden Donald Trump.
Berdasarkan undang-undang semasa AS, mana-mana individu atau syarikat asing tidak dibenarkan memberi sumbangan - sama ada secara langsung atau tidak - kepada ahli politik negara itu.
Mereka juga dilarang memberikan sumbangan kepada badan yang ada kaitan dengan ahli politik AS.
Langkah itu dikuatkuasakan bagi mengelak sebarang campur tangan asing dalam politik dalaman AS.
Memetik sumber yang dekat dengan isu itu, The Wall Street Journal (WSJ) malam tadi melaporkan, Jawatankuasa Trump Victory - yang bertanggungjawab dalam kempen untuk mendapatkan mandat kali kedua kepada presiden AS itu pada 2020 - menerima dana berjumlah AS$100,000 pada Dis 2017.
Sumbangan tersebut, kata WSJ, diterima daripada Larry Davis, seorang rakyat AS yang menjadi pemilih bersama syarikat pelaburan berpangkalan di Hawaii, LNS Capital.
Syarikat itu menerima dana berjumlah AS$1.5 juta daripada Jho Low kira-kira tujuh bulan sebelum Davis menyerahkan sumbangan kepada Trump Victory.
DOJ kini dilaporkan sedang menyiasat sama ada dana yang dipindahkan Davis kepada badan tersebut berasal daripada sumbangan Jho Low.
Dalam e-mel balasan kepada WSJ, Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - menafikan dia tahu mengenai Davis atau sumbangan yang diberikan itu.
Bagaimanapun melalui e-mel kedua yang dihantar tiga minit kemudian Jho Low meminta WSJ mengabaikan e-mel pertama.
Sebaliknya kata ahli perniagaan yang dikehendaki polis Malaysia itu, sumbangan berkenaan diberi untuk beberapa peguamnya.
Bagaimanapun Davis tidak memberikan sebarang kenyataan kepada pertanyaan WSJ.
Menurut rekod kerajaan AS, lebih AS$60,000 sumbangan Davis disalurkan kepada Jawatankuasa Kebangsaan Republikan (RNC) manakala AS$5,400 lagi diberikan terus kepada badan yang berkempen untuk Trump itu.
Baki sumbangan tersebut diagih-agihkan kepada parti Republikan di peringkat negeri serta kempen yang berkaitan.
"Trump Victory tidak menerima sumbangan daripada badan atau warga asing sesuai dengan undang-undang negara.
"Kami menafikan sekeras-kerasnya sebarang salah laku di pihak RNC atau jurukempen Trump," kata jurucakap RNC, Cassie Smedile, dalam satu kenyataan.
Penelitian ke atas dana Davis itu adalah sebahagian daripada siasatan meluas DOJ berhubung dakwaan Jho Low cuba memujuk Rumah Putih menggugurkan tindakan undang-undang bagi skandal 1MDB.
Dia juga didakwa cuba membantu China mengekstradisi pengkritik tegar Beijing yang sedang mendapatkan suaka politik di New York, Guo Wengui.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment