Write For Us

Menteri harap capai jalan tengah isu Taman Rimba Kiara

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
140 Views
Published
Jawatankuasa Bersama Taman Rimba Kiara akan mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat bagi berbincang dan mencari jalan tengah berhubung projek pembangunan lapan blok pangsapuri di kawasan tanah lapang taman rimba itu.
Perjumpaan itu akan memberi tumpuan utama terhadap usaha menyediakan tempat kediaman baru terhadap 98 keluarga penghuni rumah panjang di Bukit Kiara, selain memastikan usaha itu tidak akan mengancam taman rimba tersebut.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berharap jalan tengah akan dapat dicapai bagi mengelakkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menanggung pembayaran pampasan yang tinggi kepada pihak pemaju.
“Kalau kita batalkan memang kita terpaksa bayar pampasan kepada pemaju, dalam masa yang sama kita terpaksa menangani kos membina rumah ganti bagi penduduk rumah panjang.
“Kalau saya lakukan itu untuk Taman Rimba Kiara maka projek-projek lain pun akan menuntut tindakan yang sama. Akhirnya akan sebabkan DBKL terpaksa keluarkan pampasan yang tinggi,” katanya dalam satu sidang media di lobi parlimen hari ini.
Menurutnya, sekiranya dibatalkan, DBKL mungkin terpaksa menanggung pampasan antara RM177 juta ke RM500 juta (sekiranya pemaju mengambil kira ‘kehilangan keuntungan’).
Turut hadir di sidang media tersebut ialah Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh.
Sementara itu, Hannah telah membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan kelulusan yang diberikan kepada pemaju semasa zaman pentadbiran menteri wilayah persekutuan yang lama, Tengku Adnan Tengku Mansor.
Laporan itu dibuat agar siasatan dapat dilakukan terhadap kemungkinan berlakunya salah guna kuasa dan rasuah, termasuklah dalam proses pengezonan semula kawasan lapang sebagai kawasan pembangunan bercampur.
Hannah turut memaklumkan mahkamah telah memutuskan untuk menolak permohonan semakan semula penghakiman mahkamah yang difailkan oleh persatuan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan memutuskan bahawa kebenaran pembangunan (DO) lama yang dikeluarkan sebagai sah.
“Berikutan keputusan mahkamah semalam, persatuan penduduk TTDI akan membincangkan sama ada mereka akan memfailkan rayuan tetapi sementara menunggu keputusan tersebut, jawatankuasa bersama ini kita tubuhkan.
“Kita akan bermesyuarat dengan secepat mungkin, surat jemputan akan dikeluarkan kepada persatuan-persatuan ini supaya wakil rasmi akan terlibat dalam perbincangan,” katanya.
Selain Khalid dan Hannah, jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, persatuan penduduk TTDI, pertubuhan penduduk perumahan awam Bukit Kiara Kuala Lumpur, persatuan penduduk rumah panjang Bukit Kiara Kuala Lumpur, kawasan rukun tetangga perumahan awam Bukit Kiara dan juga pihak pemaju Memang Perkasa Sdn. Bhd.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment