Write For Us

Minyak turun 8 sen, haram pembangkang nak puji - Abdul Rahman

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
136 Views
Published
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berpandangan terserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membuat keputusan mengenai sama ada perlu atau tidak membuat pengumuman perubahan harga minyak setiap minggu.
Abdul Rahman berkata ini kerana formula kiraan harga minyak sudahpun diketahui ramai.
"Saya pun pernah bercakap dalam Kabinet sama ada perlu atau tidak kerajaan secara rasmi mengumumkan perubahan harga setiap minggu. Sebab formula yang digunakan sudah diketahui ramai bermakna sesiapa yang ingin mengetahui harga minyak untuk minggu ini, kita akan tahu sebab formulanya sudahpun dikenal pasti dan telah diketahui oleh public, terutama kawan-kawan kita yang berkenaan dan tidak perlu kerajaan untuk mengumumkannya.
"Tetapi saya serahkan kepada KPDNKK untuk membuat keputusan pada mereka sama ada untuk kita umumkan atau tidak umum agaknya perkara ini pun is a public knowledge," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Abdul Rahman menjawab dua soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim mengenai keperluan pengumuman harga minyak setiap minggu dan tindakan terhadap pembangkang yang memutar belit isu minyak kepada rakyat.
Beliau juga berkata sejak pengenalan harga minyak secara mingguan diumumkan, secara keseluruhan hanya satu sen sahaja yang mengalami kenaikan.
Abdul Rahman turut menyelar pembangkang kerana membisu apabila harga minyak diumum semalam turun 8 sen.
"Tahun ini sahaja sejak kita mengapungkan harga, 21 minggu pengumuman harga naik dengan totalnya 83 sen harga minyak naik dalam masa 21 kali kita umumkan. Tapi pada masa sama, kita umumkan 13 minggu harga minyak turun dan keseluruhan penurunannya 82 sen. Bermakna secara keseluruhannya hanya satu sen sahaja kenaikan sejak kita apungkan secara mingguan.
"Macam semalam, kita umumkan 8 sen. Haram satu perkataan nak memuji kerajaan tidak digunakan. Pembangkang tidak memuji usaha kerajaan. Tapi kalau harga naik, kita bersedialah segala tohmahan dan fitnah yang dibuat," katanya.
"Tindakan yang paling baik untuk mengajar mereka ini adalah bila mereka undi BN dalam pilihan raya supaya mereka dapat memberikan undi kepada kerajaan yang lebih terus terang dan jujur, bukan daripada pihak pembangkang yang sentiasa menggunakan isu ini nak berpolitik," katanya.
Bermula 29 Mac lalu, kerajaan menerusi KPDNKK melaksanakan kaedah pengapungan terkawal penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel secara mingguan dan pengumuman perubahan harga dilakukan melalui laman sesawang dan Facebook rasmi kementerian.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment