Write For Us

Pembangkang tawarkan sokongan bersyarat buat PH

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
84 Views
Published
Anggota parlimen pembangkang sebulat suara menawarkan sokongan kepada cadangan kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Bagaimanapun, sokongan yang dijanjikan itu adalah bersyarat.
Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan perlu membuat pindaan pada Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun terdaftar secara automatik sebagai pemilih.
“Kami akan sokong usul kerajaan untuk turunkan umur pengundi kepada 18 tahun, tapi kami mahu kerajaan meminda Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan, bagi membolehkan warganegara Malaysia yang cukup umur 18 tahun secara automatik terdaftar sebagai pemilih.
“Selaras dengan itu juga, pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan - iaitu kelayakan menjadi calon pilihan raya - juga diturunkan kepada umur 18 tahun,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Rabu.
Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.
Usul itu, yang merupakan satu daripada janji dalam manifesto PH yang kini menerajui negara.
Ia dijangka dibentangkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setelah ia dipersetujui secara sebulat suara oleh Kabinet pada September lepas.
Untuk membolehkan ia diluluskan usul tersebut mesti mendapat sokongan dua per tiga anggota dewan. Walaupun menguasai Putrajaya PH masih belum mempunyai wakil yang mencukupi bagi membentuk penguasaan majoriti mutlak di parlimen.
Justeru, kerajaan memerlukan sokongan daripada pihak pembangkang sebelum rang undang-undang itu dapat diluluskan.
Ismail Sabri berkata jika kemahuan mereka tidak sama dengan usul yang akan dibawa esok, pembangkang tidak akan memberikan sokongan mereka.
“Kita tak akan sokong kalau tak sama, maksudnya, masuk saja umur 18 tahun secara automatik seseorang itu terdaftar sebagai pemilih di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sekali gus layak menjadi calon pilihan raya,” katanya.
Menurut beliau, pembangkang juga akan cuba membentangkan usul persendirian berhubung cadangan berkenaan dalam tempoh terdekat jika PH gagal melakukannya.
Bagaimanapun Ismail Sabri tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai hal itu.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment