Write For Us

Pengendali portal berita wajib pantau semua komen

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
61 Views
Published
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata pihaknya sedang mempertimbangkan keperluan mengambil tindakan terhadap portal berita yang membiarkan pembaca meninggalkan komen yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja.
Katanya, sekiranya pengendali portal seumpamanya tidak memantau komen seperti itu, ia boleh menyebabkan kemarahan dan masalah yang lebih besar.
"Saya terima banyak aduan daripada masyarakat dan mereka mengatakan kelihatan seolah-olah tidak ada sebarang pemantauan oleh pengendali portal tentang apa yang dikeluarkan di bahagian komen portal mereka.
“Saya dalam proses menimbang sama ada perlu atau tidak satu undang-undang digubal untuk aspek itu tetapi ia masih perkara dalam pertimbangan, belum dibawa ke (mesyuarat) kabinet lagi,” katanya, seperti dipetik Bernama.
Gobind berkata demikian kepada pemberita di lobi parlimen hari ini ketika mengulas titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Dewan Rakyat ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 yang bermula hari ini.
Antara lain, Sultan Abdullah bertitah mahu tindakan tegas diambil terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara termasuk penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, Gobind berkata pengendali portal berita perlu berhati-hati dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan bahagian komen portal mereka tidak mengundang masalah.
“Kita dengar apa yang disampaikan Seri Paduka cukup jelas bahawa kita faham di era ini kita bergantung kepada media sosial, tetapi dalam masa sama, pada setiap masa kita perlu beri keutamaan kepada perpaduan negara dan keselamatan negara,” katanya.
Ahli parlimen DAP itu berkata kementeriannya sudah menyediakan beberapa pindaan undang-undang yang diharap dapat dibentangkan dalam sesi parlimen kali ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan perincian lanjut berhubung perkara itu.
“Saya harap saya ada masa dalam sesi ini untuk bentangkan pindaan itu. Saya akan umumkan pindaan-pindaan itu kepada masyarakat awam sekiranya ia dapat dibentangkan nanti,” katanya.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment