Write For Us

'Polis panggil orang yang buat tuduhan itu untuk tanya, bukan nak tangkap'

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
109 Views
Published
Tindakan polis memanggil penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan anggota keluarga dua tahanan yang didakwa didera di IPD Klang Selatan bukan bermaksud mereka ditangkap, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Beliau berkata, ia merupakan proses biasa untuk pihak yang membuat dakwaan hadir untuk memberi keterangan dan penjelasan kepada polis.
"Jika ada pihak yang berani mengeluarkan tuduhan atau dakwaan mengenai kekejaman polis, jadi siasatan dijalankan di dalam.
"Apabila siasatan buntu, pihak polis akan memanggil orang yang membuat tuduhan untuk ditanya. Bukan ditangkap, (tetapi) ditanya," katanya kepada pemberita ketika lawatan ke Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur, pada Selasa.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Suaram D Sevan yang kecewa selepas penyelaras NGO itu serta anggota keluarga tahanan dipanggil untuk memberi keterangan.
Sevan berkata, ia selepas Ketua Polis Daerah Kelang Selatan Shamsul Amar Ramli membuat laporan polis berkenaan sidang media Suaram berkenaan perkara itu.
"Ketua polis daerah itu sepatutnya mengarahkan siasatan dibuat berhubung dakwaan penderaan oleh pihak keluarga terbabit, tetapi sebaliknya keluarga tahanan itu dan Suaram yang dipanggil memberi keterangan," katanya.
Beliau menyifatkan tindakan polis itu sebagai "gertakan dan penafian" terhadap pendedahan mereka.
Abdul Hamid berkata, tiada pihak yang perlu takut untuk memberi maklumat berkenaan penderaan dalam tahanan polis tetapi ia perlu dibuat secara bertanggungjawab.
"Kita akan ambil tindakan sewajarnya (berkenaan dakwaan itu). (Tetapi) kita ada hak untuk membela diri.
"Kalau benda (dakwaan) tak betul, kita (pula) akan ambil tindakan, buat laporan polis dan anda pula yang akan berdepan (tindakan)," katanya lagi.
Dalam kenyataan semalam, Sevan juga meminta Abdul Hamid campur tangan dalam siasatan itu.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment