Write For Us

Sultan Johor cabar KJ 'tunjuk taring' lawan polo

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
161 Views
Published
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini mencabar skuad polo Sukan SEA 2017 yang diketuai Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin supaya menunjukkan taring masing-masing untuk berlawan dengan pasukan negeri itu.
"Kalau jantan, mari kita main dan tunjukkan taring masing-masing di Johor," titah Sultan Johor.
Mempelawa pasukan itu untuk beraksi di negeri berkenaan Sultan Ibrahim berkata baginda mendapat tahu pasukan berkenaan "handal sangat".
"Saya cabar pasukan polo Sukan SEA (Malaysia) supaya datang ke negeri Johor dan tunjukkan taring mereka yang saya dengar handal sangat," katanya seperti dimuat naik di akaun rasmi Facebook kelab bola sepak JDT sebentar tadi.
Dalam kenyataan berikutnya, tanpa memetik nama Khairy secara khusus Sultan Ibrahim berkata, menteri terbabit hanya masuk ke padang sebagai pemain gantian selepas pasukan kebangsaan mendahului lawan.
"[...] suruh budak (pemain) yang sedang perform berpura-pura mengalami kecederaan," katanya.
Khairy menjadi sebahagian daripada atlet yang bertanding dalam temasya dwitahunan di Kuala Lumpur ketika ini dengan menjadi pemain skuad polo.
Pada 22 Ogos lalu pasukan negara membenam skuad Brunei dengan 12-4. Skuad kebangsaan bertemu Singapura pagi tadi dengan jaringan besar, 13-2.
Sultan Ibrahim berkata pasukan polo yang bertanding di Sukan SEA kali ini adalah lemah dan menyertainya "hanya untuk cukupkan syarat pertandingan sahaja".
"Ada yang datang dengan handicap rendah, jadi memanglah mudah untuk dikalahkan," katanya.
Justeru Sultan Ibrahim berkata, beliau menjemput Khairy untuk datang dan tidak menghampakan kehendak rakyat untuk melihat pasukan Malaysia itu mengalahkan pasukan Johor.
"Saya akan hantar dua anakanda saya dan dua orang penjaga kuda atau pun saya sekali kerana saya melihat diri saya masih handal lagi.
"Kalau pasukan saya kalah, saya akan akui bahawa pasukan Sukan SEA lagi baik dan semuanya handal-handal belaka.
"Polo di Johor sudah bermula sejak tahun 1884, bukannya semalam baru beranak. Semasa saya menjadi Tunku Mahkota, saya sudah bermain di serata dunia termasuk Piala Dunia untuk sukan tersebut," jelasnya.
Tambah beliau, jika dibandingkan dengan Sukan SEA, ia bukan tandingannya.
"Jikalau anda mahukan perlawanan yang lebih serius, datang ke negeri Johor.
"Saya mempersilakan kepada semua rakyat Malaysia untuk turut sama hadir menyaksikan serta menikmati perlawanan antara pasukan Sukan SEA dan pasukan Johor," jelas Sultan Ibrahim.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment