Write For Us

Isa Samad umum siasatan pada presiden FGV

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
81 Views
Published
Felda Global Venture Bhd (FGV) akan menjalankan siasatan audit dalaman membabitkan presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan itu, Datuk Zakaria Arshad.
Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, pihaknya juga bersedia untuk memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya diperlukan.
“Terserahlah pada SPRM nak masuk (siasatan), masuklah kita tak ada masalah. Buat masa ini kita cuma mengiyakan siasatan audit dalaman.
“Kalau SPRM nak masuk, siapa boleh tandingi kalau dia nak masuk. Kita nampak ada kesilapan sebab itu kita buat siasatan supaya lebih jelas,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Menara Felda, Kuala Lumpur hari ini.
Katanya lagi, FGV juga telah memberikan surat kebenaran bercuti kepada tiga lagi pegawai kanan FGV dan anak-anak syarikatnya, sepanjang siasatan berlangsung.
Ini termasuk Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Abd.
Kemelut kepimpinan FGV dikatakan mempunyai kaitan dengan urusan kredit Delima Oil dengan sebuah syarikat pembeli minyak sawit daripada luar negara.
Zakaria setakat ini dilapor mempertahankan diri dan enggan berundur serta berhujah proses pembayaran dan syarat kredit yang digunapakai Delima Oil itu sudah dilaksanakan sebelum beliau menjadi CEO lagi.
Sementara itu, Utusan Online melaporkan, Zakaria mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat keseluruhan operasi syarikat itu bagi menilai sekiranya berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa.
Jelas Zakaria, walaupun diarahkan bercuti serta-merta oleh lembaga pengarah FGV, beliau sendiri sedia memberi kerjasama kepada SPRM untuk menyiasat syarikat perladangan itu termasuk ketika sebelum beliau menjadi CEO lagi.
“Saya sedia bekerjasama kepada SPRM. Saya tidak takut untuk berdepan situasi ini kerana yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan. Mungkin banyak perkara yang boleh disiasat oleh SPRM.
“Dengan penglibatan SPRM sendiri, mungkin banyak persoalan boleh dirungkai dan diselesaikan,” katanya, memetik laporan tersebut.
Beliau turut mengakui berasa amat kecewa kerana diarahkan bercuti serta-merta kerana begitu sayangkan FGV.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment