Write For Us

Mahasiswa 'bengang' diheret dalam kancah politik

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
171 Views
Published
Semalam merupakan ulang tahun Umno yang ke-71, dalam ribuan hadirin yang menghadiri upacara penuh bersejarah itu, siapa sangka ada hati yang terluka.
Itulah yang dihadapi oleh mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pada awalnya hanya dimaklumkan bahawa mereka diwajibkan untuk menghadiri “Program Sukarelawan Patriotisme Stadium Bukit Jalil semalam.
Seawal jam 10 pagi sebanyak 110 buah bas dengan ke muatan 44 orang mahasiswa mereka bergerak ke Bukit Jalil secara berperingkat, namun setibanya di sini, tiada program seperti yang dimaklumkan sebaliknya ia adalah sambutan ulang tahun Umno yang ke-71.
Menurut mahasiswa yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiq, pihak UiTM mewajibkan mahasiswa yang mengikuti kelas kokurikulum untuk menghadiri program ini dan sekiranya ingkar, mereka akan diambil tindakan.
“Pihak UiTM kata ini program sukarelawan tapi kami kena tipu. kami datang dari pagi lagi duduk bawah pokok, dah dua kali periksa darah dan sekarang duduk balik bawah pokok.
“Sekarang ni dah letih sangat, tak tahu nak buat apa-apa dah sekarang ni,” katanya kepada Malaysiakini.
Bagi mahasiswa UiTM yang mahu dikenali sebagai Razak pula mempersoalkan mengapa kerajaan sebelum ini melaungkan mahasiswa tidak boleh terlibat dengan politik namun hari ini bertindak sebaliknya.
“Sudahlah macam program yang dia kata pada awalnya tu tak ada. Saya rasa program hari ni kurang sesuai, sebab kerajaan kata pelajar tak boleh terlibat dengan politik tapi ini dah lain dah ni,” katanya.
Bagi mahasiswa UiTM yang mahu dikenali sebagai Ismail pula berkata, UiTM tidak boleh memaksa pelajar yang sudah berusia 21 tahun ke atas ke program Umno memandangkan mereka sudah boleh mengundi,
“Kami dah berusia 21 tahun, tak boleh lah paksa macam ni. Kami pun ada parti yang kami pilih dan lebih-lebih lagi undi ni rahsia,” kesalnya.
Namun lain pula yang dihadapi oleh pelajar sebuah Kolej Komuniti apabila mereka pada awalnya hanya diberitahu untuk hadir ke program “Kadet Pispa Kolej Komuniti di dalam program sukarelawan bersama Yb Menteri”.
Menurut pelajar yang mahu dikenali sebagai Faiz, beliau dan rakan-rakannya tidak menyangka akan dikerah ke program ulang tahun Umno.
Katanya, ketika dalam perjalanan ke Bukit Jalil hari ini, seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai urusetia majlis ulang tahun Umno ke-71 tiba-tiba memberi baju parti yang berwarna merah untuk dipakai.
Malah lelaki tersebut turut mengingatkan semua pelajar supaya tidak mengambil gambar dengan memakai baju Umno serta memuat naiknya di laman sosial.
“Pada awalnya dia kata datang program lain, tapi rupanya program Umno. Kami dari pagi lagi ni, penat sangat dah dan tak tahu dah nak pergi mana, kalau tahu program macam ni kami tak datang,” katanya yang turut dibekalkan wang sebanyak RM10 setiap seorang.
Dalam pada itu, anggota lembaga pengarah UiTM, Datuk Irmohizam Ibrahim dakwaan tersebut merupakan “fitnah” yang boleh mencemarkan nama institusi itu.
"Sebenarnya saya tak ada maklumat mengenai perkara ini.
"Saya rasa ini satu tuduhan dan dakwaan yang tidak bertanggungjawab yang boleh mencemarkan imej dan nama baik UiTM," katanya yang juga anggota parlimen Kuala Selangor kepada Malaysiakini.
Pemuda PKR dan DAP semalam menuduh Umno menggerakkan mahasiswa UiTM untuk hadir ulang tahun Umno ke-71.
Mereka menyebarkan rakaman skrin di kumpulan WhatsApp berkaitan mahasiswa UiTM bagi membuktikan dakwaan itu.
Naib Ketua Pemuda PKR Afif Bahardin mendakwa Umno "menipu" pelajar-pelajar dengan berkata program itu sebagai "Program Sukarelawan Patriotisme".
Pengarah Hal Ehwal Universiti DAPSY Leong Yu Sheng pula berkata kepimpinan UiTM telah melanggar integriti dan etika akademik dengan langkah itu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa juga menafikan dakwaan tersebut, dengan berkata sambutan malam ini adalah "terbuka" kepada sesiapa yang berminat untuk hadir.
Pengunjung ke acara hari ini berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah termasuk kereta yang semuanya berjumlah hampir RM1 juta.
Acara kemuncak bagi sambutan itu adalah amanat presiden Umno, yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang hala tuju parti, terutamanya dalam menghadapi cabaran pilihan raya umum akan datang.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment