Write For Us

MB: Bayaran pelepasan status bertujuan bantu Bumiputera

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
131 Views
Published
Sumbangan atau kutipan yang diperolehi hasil bayaran penukaran dan pelepasan status bumiputera adalah amalan kerajaan negeri Johor yang bertujuan untuk membantu bumiputera, kata Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin.
Khaled berkata, sejak 2013, pemaju boleh memohon untuk menukar lot perumahan bumiputera kepada bukan bumiputera dengan membuat sumbangan 7.5 peratus kepada kerajaan negeri, dengan projek-projek sebelum 2013 layak mendapatkan bayaran lebih rendah.
“Sumbangan atau kutipan yang diperolehi hasil bayaran penukaran dan pelepasan status Bumiputera ini kemudiaannya dimasukkan ke dalam Tabung Perumahan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Khaled, sumbangan yang diperolehi sejak 2013 adalah sebanyak kira-kira RM600 juta.
Dana itu, kemudiannya disalurkan oleh kerajaan negeri untuk projek yang boleh membantu bumiputera seperti membeli tanah bersesuaian untuk dibina rumah mampu milik dan membina gerai atau pusat berniaga mampu milik untuk golongan bumiputera.
Khaled mengulas dakwaan skandal penukaran status tanah bumiputera di negeri itu, yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jumaat lalu, SPRM telah menahan enam orang termasuk anak dan pegawai khas exco Johor Datuk Abd Latif Bandi berhubung perkara itu.
Susulan penangkapan itu, 45 akaun milik suspek yang mengandungi simpanan sekitar RM15.5 juta dibekukan, selain 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai termasuk mata wang asing berjumlah RM500,000 serta pelbagai dokumen dirampas
Abdul Latif juga dilaporkan sedang bercuti sementara menunggu siasatan SPRM.
Khaled juga menafikan isu itu membabitkan penukaran membabitkan rumah-rumah mampu milik bumiputera kepada status awam atau bukan bumiputera.
“Dasar yang membenarkan pelepasan ini tidak sama sekali melibatkan rumah kos rendah dan mampu milik seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
“Secara asasnya, penukaran dan pelepasan status atau kouta bumiputera untuk rumah-rumah mewah dan bukan dalam kategori Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) atau Rumah Kos Rendah adalah dibenarkan dan menjadi amalan kerajaan negeri dari dahulu lagi.
“Ia terpakai kepada rumah-rumah mewah dan harganya di luar kategori RMMJ yang telah melepasi tempoh dan syarat tertentu, bagi mengelakkan lambakan rumah sedemikian yang tidak terjual kepada pembeli bumiputera,” katanya.
Khaled juga menyambut baik keputusan Abd Latif mengambil cuti sementara menunggu siasatan SPRM, dan berkata kerajaan negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan pemantapan prosedur dan tadbir urus kerajaan negeri diperkemaskan.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment