Write For Us

Misi bawa keluar rakyat Malaysia dari Wuhan, rumit tapi lancar

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
91 Views
Published
KUALA LUMPUR: Proses membawa keluar rakyat Malaysia dari Wuhan rumit yang mungkin menyebabkan kemungkinan pesawat khas yang membawa mereka lewat tiba semula ke Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Duta Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin, berkata ia adalah perkara biasa ketika melaksanakan misi sedemikian dan pihaknya sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia yang berada di Wuhan dan sekitar wilayah Hubei.
Katanya, prosedur berkaitan turut dimaklumkan kepada rakyat Malaysia supaya misi berupaya dijalankan tanpa masalah selain senarai penumpang yang bakal dibawa pulang ke tanah sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa China.
Beliau berkata seramai 137 nama disenaraikan untuk dibawa keluar dalam misi hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, semalam dilaporkan berkata hanya rakyat Malaysia di Wuhan, yang sihat akan dibawa pulang dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sejurus tiba.
Wabak coronavirus yang dikesan mula tercetus dan menular dalam kalangan manusia dari pasar makanan laut di Wuhan, wilayah Hubei, China, sejak Disember lalu kini mengorbankan 362 nyawa dan menjangkiti seramai 17,387 orang di seluruh dunia.
Virus baharu yang mengundang risiko tinggi dalam kalangan orang tua, kanak-kanak dan mempunyai masalah kesihatan itu setakat ini sudah merebak ke 27 negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura.
Sebaik pasukan pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Beijing tiba di Wuhan, Nushirwan menjelaskan, mereka mula mengaktifkan bilik sekretariat di bandar itu untuk membantu proses penghantaran pulang rakyat Malaysia, susulan penularan 2019-nCoV di republik berkenaan.
Beliau berkata, tugasan pasukan itu mencakupi urusan menghubungi pihak berkuasa berkaitan di China bagi melancarkan proses membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air, selain mendapatkan ‘lampu hijau’ kastam bagi tujuan penyaluran bantuan kemanusiaan.
"Semua urusan berjalan lancar kerana mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa China. Ini adalah hasil perbualan telefon antara Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya merangkap Kaunselor Negara China, He Wang Yi, pada Sabtu lalu," katanya.
Bagi memastikan harapan rakyat Malaysia yang berdepan perintah berkurung di Wuhan susulan penularan wabak coronavirus tetap utuh, Kedutaan Malaysia di China turut menitipkan pesanan khas menerusi beberapa kaedah komunikasi seperti emel dan WhatsApp.
Nushirwan dalam pesanan itu meminta rakyat Malaysia di Wuhan kekal sabar dan tenang sehingga semua prosedur membawa pulang selesai.
"Hari ini adalah hari untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan. Kerajaan Malaysia dan kedutaan mengambil segala usaha dan tindakan yang diperlukan supaya urusan berjalan dengan lancar.
"Rakan kedutaan kami di Wuhan akan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini dan juga tindakan yang perlu diambil. Usaha ini adalah rumit dan kemungkinan berdepan dengan faktor kelewatan daripada jadual asal, namun yang pastinya anda akan berada di dalam penerbangan berkenaan.
"Sentiasa bertenang, sabar dan pastikan anda boleh sentiasa dihubungi, selain menjaga keselamatan serta kebersihan diri. Sekiranya ia dipatuhi, semuanya akan berjalan dengan baik.
"Inilah saat dan masanya untuk kita buktikan kepada diri kita serta dunia yang jati diri anak Malaysia bersemangat kental dan bersatu hati!," katanya dalam pesanan itu.
-------------------------------------

#HMETRO #METROTV



Please visit our website for more news

Please like

Please follow

And also our
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment