Write For Us

Peguam kes Adib tak patut tarik diri - Dr M

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
96 Views
Published
Peguam Syazlin Mansor tidak sepatutnya menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim walaupun beliau diarahkan tarik diri daripada mewakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, Syazlin seharusnya meneruskan tugasnya sebagai peguam bagi keluarga Allahyarham Muhammad Adib jika betul ingin mencari kebenaran dalam kes itu.
“Peguam negara sudah mengeluarkan kenyataan apa yang berlaku. Peguam ini adalah peguam keluarga Adib. Lepas itu jadi peguam kerajaan. Mana boleh. Sebab kerajaan melalui prosiding itu ingin tentukan sebab-sebab Adib meninggal dunia.
“Pihak yang memilih peguam itu tidak sedar, dia sudah menjadi peguam untuk keluarga Adib. Apabila sudah diketahui, dia mesti tarik diri daripada mewakili kerajaan dan terus jadi peguam untuk keluarga Adib, tetapi dia tarik diri daripada semua dengan beranggapan ingin mencari kebenaran.
“Kebenaran boleh dapat dalam mahkamah kita. Sekarang ini perdana menteri tidak lagi berkuasa di mahkamah. Kalau kita tidak percaya di mahkamah, kepada siapa kita ingin percaya untuk buat keputusan?” katanya.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu pada Selasa yang turut dihadiri presiden parti Muhyiddin Yassin dan barisan kepimpinan parti.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata peranan Syazlin tidak diperlukan lagi dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib.
Zuraida berkata ini kerana Peguam Negara bertindak mewakili kerajaan termasuk kementerian serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Syazlin mengumumkan menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu di hadapan Hakim Rofiah Mohamad, yang bersidang sebagai Koroner, ketika prosiding hari ke-37 di
Mahkamah Koroner di Shah Alam, semalam.
Penarikan diri beliau mencetuskan pelbagai spekulasi dan persoalan mengenai kedudukan inkues berkenaan dalam memberi keadilan kepada Allahyarham Muhammad Adib.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah ketika kekecohan dalam insiden berhubung Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara.
Kepada soalan sama ada Peguam Negara Tommy Thomas perlu dipecat seperti didesak sesetengah pihak kerana isu penarikan diri peguam itu, Dr Mahathir berkata : “Ada orang menyasarkan individu ini tanpa sebab. Apa jua yang beliau lakukan, mesti ada sebab.
“Sebabnya ialah, peguam itu mewakili dua pihak yang bertelingkah. Jadi setidak-tidaknya harus menarik diri dari menjadi peguam bagi pihak kerajaan.
“Menteri berkenaan tidak tahu beliau juga menjadi peguam bagi keluarga Adib, awak mahu saya pecat (menteri) Zuraida juga?” tanya Dr Mahathir. - Bernama
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment