Write For Us

Tiada kes baharu H5N1 di Kelantan - Ahmad Shabery

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
114 Views
Published
Kelantan akan diisytiharkan bebas daripada wabak selesema burung (H5N1) dalam masa terdekat berikutan tiada penemuan kes baharu wabak itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
"Sehingga kini tiada kes baharu dikesan. Kalau keadaan ini berterusan, tidak lama lagi kita akan isytiharkan keadaannya pulih," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan tidak akan mengambil mudah dengan perkembangan positif itu, sebaliknya akan berterusan menjalankan pemantauan rapi terutamanya di dalam lingkungan 10km daripada lokasi wabak ditemui.
"Kita juga akan pantau segala bentuk kemungkinan lain di kawasan terjejas," katanya.
Beliau mengulas perkembangan semasa berkaitan wabak tersebut yang melanda Kelantan sehingga memaksa negeri itu mengisytiharkan wabak itu sebagai bencana selepas beberapa kes dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, Kota Bahru, pada 6 Mac lalu.
Setakat ini, sebanyak 28 kampung di enam jajahan iaitu Kota Bharu (14 kampung), Pasir Mas (6), Tumpat (3), Pasir Puteh (3), Bachok (1) dan Tanah Merah (1) dikesan terdapat ayam kampung dijangkiti virus H5N1.
Ahmad Shabery berkata operasi pelupusan telah selesai dijalankan di kawasan terbabit dengan menyaksikan sebanyak 37,555 unggas dan 15,348 telur dimusnahkan.
Menurutnya, sebanyak 200 petugas ditempatkan di kawasan wabak, bagi tujuan menjalankan pelbagai operasi selain mengadakan sekatan jalan raya sebagai usaha mengawal pergerakan keluar unggas dari negeri itu.
Beliau berkata laporan awal mendapati wabak H5N1 itu didapati berpunca daripada ayam laga, sama ada dari negara ini atau dari negara jiran.
"Wabak ini bukan berpunca daripada burung hijrah. Kita akan dapatkan pengesahan berhubung perkara ini dan buat laporan terperinci dalam masa terdekat," katanya.
Ahmad Shabery menegaskan walaupun kes itu berlaku di Kelantan, namun ia dianggap sebagai isu nasional kerana boleh memberi impak negatif kepada sektor perdagangan negara terutamanya kepada penternak dan pengedar ayam.
"Negara luar akan beranggapan bahawa Malaysia terkena jangkitan H5N1 maka mereka akan hentikan import hasil keluaran kita terutama berkaitan produk burung," katanya.
Bagi mengembalikan keyakinan dalam kalangan negara luar, beliau berkata pihaknya menjalankan pelbagai langkah proaktif antaranya memberikan penerangan keadaan semasa berkaitan wabak itu kepada negara asing.
"Isnin lepas kita telah menghantar Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Ismail Bakar dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Kesihatan Veterinar) Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam ke China untuk memberi penerangan mengenai wabak itu yang kini telah terkawal.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment