Write For Us

Zamihan akur titah Sultan Selangor

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
120 Views
Published
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin akur titah Sultan Selangor agar tauliah mengajar agama beliau di negeri itu ditarik balik.
Dalam satu kenyataan, kata Zamihan, sebagai rakyat biasa yang menjunjung tinggi institusi diraja, beliau akur dan patuh kepada keputusan dan titah tuanku sultan.
Zamihan juga merafak sembah memohon maaf sekiranya baginda terguris hati dengan tutur katanya ketika menyampaikan ceramah agama di Masjid Diraja baru-baru ini.
Menurut Zamihan, beliau menghormati keputusan Sultan Selangor dan baginda berhak membuat keputusan sebagai seorang ketua agama.
Bagaimanapun, jelas Zamihan, beliau akan terus berkhidmat dengan cara dan tempat yang sesuai demi kebenaran di samping perjuangan dakwah Islam tidak pernah terhenti sehingga hari kiamat.
Semalam, Sultan Selangor berkenan supaya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar penceramah kontroversi itu.
Menurut kenyataan baginda melalui Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais, baginda memperkenankan tindakan itu melalui Peraturan 4, Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.
Berikut kenyataan media penuh Zamihan.
KENYATAAN MEDIA
1. Saya sedia maklum akan keputusan pelucutan tauliah mengajar agama saya di Selangor seperti mana titah Tuanku Sultan. Sebagai rakyat biasa yang menjunjung tinggi institusi diraja, saya akur dan patuh kepada keputusan dan titah Tuanku Sultan.
2. Begitu juga saya sekali lagi merafak sembah memohon maaf terhadap Tuanku Sultan, sekiranya Baginda terguris hati dengan tutur kata saya ketika menyampaikan ceramah agama di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jamaah tempohari. Sesungguhnya saya selaku rakyat biasa tiada niat untuk menghina institusi diraja melainkan hanya sekadar menyampaikan dakwah akidah Ahli Sunnah dan mengulas ketentuan hukum fiqh menurut Islam.
3. Sesungguhnya saya menghormati keputusan Tuanku Sultan dan baginda berhak untuk membuat keputusan tersebut sebagai waliyyul amri ataupun seorang ketua agama.
4. Saya hanya mencurahkan khidmat untuk agama dan ummah, sekiranya khidmat saya dirasakan sudah tidak diperlukan, saya menghormati keputusan tersebut, bagaimanapun saya akan terus berkhidmat dengan cara dan di tempat yang sesuai. Sesungguhnya kebenaran dan perjuangan dakwah Islam tidak pernah terhenti sehingga hari kiamat.
5. Oleh itu saya menyeru semua pihak supaya menghentikan adu domba dan sikap ingin melaga-lagakan sesama umat Islam dan ada baiknya kita semua fokus kepada menolak ancaman dan tipu daya golongan yang cuba merosakkan Islam dari dalam seperti Wahhabi, Syiah, Liberalisme Agama dan lain2 ajaran sesat. Mereka sememangnya suka melihat umat Islam bercakaran dan berpecah sesama sendiri.
Ustaz Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari
Presiden ASWAJA
17 Oktober 2017
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment