Write For Us

Kes pukul Rela: 'Datuk Seri' didakwa berkaitan dadah

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
124 Views
Published
Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ yang didakwa menyerang dan mencederakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), minggu lepas, sekali lagi dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan hari ini atas dua tuduhan menggunakan dadah.
Liow Soon Hee, 29, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan Majistret Haslinda A.Raof di Mahkamah Majistret Ampang.
Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Liow didakwa atas pertuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis methamphetamine di tandas pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada jam 9.40 malam, 11 Feb 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM5,000 dan perintah pengawasan sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya. Akmal Anuar menawarkan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap Liow.
Peguam Farhana Abd Halim memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya telah didakwa di Mahkamah Ampang Jumaat lalu atas pertuduhan lain.
Majistret Namirah Hanum membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.
Mahkamah menetapkan 4 Dis ini untuk sebutan semula kes.
Di Mahkamah Majistret Ampang, Liow didakwa menggunakan dadah berbahaya iaitu amphetamine dan methamphetamine di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ampang Jaya, pada jam 5 petang, 30 Okt lepas mengikut seksyen yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak menawarkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Haslinda membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan menetapkan 14 Dis ini untuk sebutan semula kes.
Jumaat lepas, Liow mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas empat pertuduhan telah menyebabkan cedera parah, menyerang penjawat awam dan menyebabkan kecederaan kepada tiga anggota RELA yang sedang bertugas di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang, di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, tiga anggota RELA iaitu Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jun Jie, 21, masing-masing mengalami kecederaan di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki itu.
Mangsa mendakwa kejadian berlaku hanya kerana mereka meminta tertuduh untuk mengalihkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment