Write For Us

Khalid tak puas hati denda rendah pada penyerang

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
125 Views
Published
Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tidak berpuas hati dengan peruntukan undang-undang dikenakan terhadap penyokong Pasir Salak yang menyerangnya di parlimen tahun lalu.
Katanya, lapan individu itu hanya didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100.
“Mereka dah didakwa pagi tadi, tapi berita buruknya mereka didakwa bawah kesalahan kecil yang mana kalau didapati bersalah maka boleh didenda tidak lebih RM100 seorang.
“Kes ini dibawa oleh pejabat peguam negara yang mana pihak peguam negara adalah unit pendakwaan sendiri. Ia merupakan seolah-olah satu penghinaan terhadap bukan sahaja pada ahli parlimen tapi institusi parlimen,” katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.
Pada 24 November tahun lalu, Khalid diserbu sekumpulan penyokong dari Pasir Salak, selepas berlaku pertikaman lidah dengan anggota parlimen kawasan itu, Datuk Tajuddin Abdul Rahman di parlimen.
Ia berikutan tindakan Tajuddin yang juga ketua bahagian Umno Pasir Salak melabelkan anggota parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya wanita yang mempunyai 'Kok'.
Polis kemudian menahan 11 suspek - termasuk tiga wanita - untuk membantu siasatan. Khalid turut berkata beliau difahamkan daripada lapan perusuh itu, dua darinya adalah anak Tajudin.
“Antara lapan (perusuh), pertama adalah Firdaus Tajuddin, kedua Faizal Tajuddin, saya percaya kedua-dua anak Timbalan Pasir Salak.
“Saya tak nak ada satu amalan di mana ada orang-orang yang dapat layanan istimewa. Kalau inilah perkiraan digunakan peguam negara untuk kenakan pertuduhan yang remeh terhadap satu kesalahan besar dan serius.
“Bukan saya saja (diserang), ada polis parlimen dipukul, disepak oleh mereka dan mereka buat laporan polis tapi tak digunapakai,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili Khalid, Zulhazmi Shariff berkata pihaknya akan membawa kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengkaji semula kadar denda yang dikenakan itu.
“Saya sebagai peguam dilantik, kita akan tulis surat kepada peguam negara, pihak pendakwa untuk kaji semula pertuduhan sebab kesalahan dilakukan lapan orang.
“Bagi kami dalam kanun keseksaan yang ada pada Seksyen 124 yang diperuntukkan dengan jelas tentang serangan kepada ahli parlimen. Pihak peguam negara kena ambil kira demi menjaga parlimen.
“Kalau guna akta kesalahan kecil akan beri teladan yang tak baik dan akan ada orang lain serang ahli parlimen dan hanya kena denda RM100,” katanya.
Layari berita lanjut di
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment