Write For Us

Majikan, pekerja dijangka belanja kos tambahan RM1.2b setahun - FMM

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
160 Views
Published
Majikan dan pekerja di Malaysia dijangka membelanjakan kos tambahan sebanyak RM1.2 bilion setahun jika Skim Insurans Pekerjaan (EIS) dikuatkuasakan pada Januari 2018.
Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Tan Sri Lim Wee Chai berkata pengiraan tersebut berdasarkan purata gaji tahunan sebanyak RM24,000, 10 juta pekerja tempatan dan 0.5 peratus kadar sumbangan EIS.
"Ia akan menambah beban kepada semua syarikat di negara ini," katanya pada sidang media mengenai EIS di sini hari ini.
Di bawah cadangan EIS, majikan dan pekerja, masing-masing dikehendaki menyumbang 0.25 peratus daripada gaji median sebanyak RM1,800 setiap bulan.
Lim berkata undang-undang buruh yang sedia ada mencukupi untuk melindungi pekerja yang diberhentikan, dan Malaysia dilaporkan menduduki kedudukan kelima tertinggi di dunia dalam menyediakan manfaat pemberhentian.
Misalnya, katanya daripada 60,000 atau 0.6 peratus daripada jumlah tenaga kerja yang diberhentikan semasa krisis kewangan 2008-2009, undang-undang membenarkan 95 peratus daripada mereka untuk menerima pampasan daripada majikan mereka.
"Ia bukan bermakna kami menentang prinsip itu (EIS) untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah apabila mereka kehilangan pekerjaan mereka," katanya.
Beliau mencadangkan kepada kerajaan untuk mempunyai skim yang disesuaikan untuk baki lima peratus golongan pekerja yang gagal mendapat pampasan.
Bagaimanapun, Lim berkata persekutuan itu terbuka untuk perbincangan lanjut dengan kerajaan berhubung perkara itu bagi mencari penyelesaian yang akan menguntungkan semua pihak.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem dilaporkan sebagai berkata EIS dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada Jun atau Julai tahun ini.
Beliau berkata skim itu juga dijangka akan dilaksanakan pada 1 Jan, 2018.
FMM pada masa ini mewakili lebih 2,600 syarikat perkhidmatan pembuatan di Malaysia.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment