Write For Us

Protes harga minyak di luar parlimen, polis-DBKL arah kemaskan khemah

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
131 Views
Published
Protes pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) yang membantah kenaikan harga minyak di luar Parlimen sepatutnya bermula pada jam 1 pagi ini tetapi para penunjuk perasaan diarahkan pihak polis untuk mengemas khemah mereka.
Empat buah khemah dipasang di kawasan berumput di persimpangan jalan menuju ke pintu pagar Parlimen.
Tetapi seorang pegawai polis dari ibu pejabat polis daerah Dang Wangi memberitahu para penunjuk perasaan yang terdiri daripada 20 orang wakil sayap Pemuda Pakatan Harapan dan NGO yang mereka hanya dibenarkan memasang khemah mereka di Padang Merbok.
"Kalau nak pasang khemah, buat kat Padang Merbok. Takut DBKL datang," katanya.
Apabila ditanya adakah menjadi kesalahan memasang khemah itu, pegawai polis tersebut yang enggan dinamakan berkata khemah tidak boleh dipasang di kawasan awam.
"Malam ni kena simpan khemah. Ada minta kebenaran (balai) Dang Wangi?" tanya pegawai polis itu ketika salah seorang penunjuk perasaan berkata mereka hanya memasang khemah itu untuk malam ini sahaja.
Naib Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin berkata Ketua Polis Dang Wangi Shaharudin Abdullah telah diberitahu berkenaan program malam ini.
Bagaimanapun, pegawai polis tersebut berkata beliau tidak boleh memutuskan hal itu.
Kemudian, seorang pegawai DBKL memberitahu para penunjuk perasaan untuk mengemas khemah yang dipasang tetapi mereka boleh berada di situ sehingga ke pagi.
"Awak nak berdiri sampai pagi, hak awak," katanya.
Pegawai DBKL itu memberitahu bahawa para penunjuk perasaan perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu untuk memasang khemah.
Sekitar 1.30 pagi, para penunjuk perasaan telahpun mengemas khemah mereka sebagaimana yang diminta pegawai polis dan pihak DBKL yang turut berada di situ.
Kira-kira 20 minit kemudian keadaan menjadi sedikit tegang apabila para penunjuk perasaan enggan menyimpan khemah yang telah dikemas itu selepas diminta berbuat demikian oleh seorang lagi pegawai DBKL.
Para penunjuk perasaan kemudiannya menyimpan dua khemah mereka dan dua lagi digunakan sebagai alas tikar.
Pegawai DBKL itu bimbang para penunjuk perasaan akan memasang semula khemah mereka dan berkata akan terus memantau keadaan bagi memastikan khemah-khemah itu tidak akan dipasang lagi.
Hampir jam 3 pagi, para pegawai DBKL itu pun meninggalkan kawasan itu.
Anggota polis yang berkawal di situ juga semakin berkurangan.
Kira-kira 15 orang anggota polis bertugas berkawal di sepanjang jalan menghala ke Parlimen.
Protes membantah kenaikan harga minyak yang sebelum ini dijangkakan berakhir pada 6 petang hari Rabu ini.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment