Write For Us

Azmin tegur Hadi kerana istilah 'kurang manis'

E-Commerce Solutions SEO Solutions Marketing Solutions
150 Views
Published
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegur kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana memberi istilah tidak manis untuk khalayak ramai dalam satu kenyataannya pada Sabtu lalu.
"Kalau kita berhujah dengan musuh sekalipun, tidak ada keperluan menggunakan istilah-istilah yang tidak sihat. Itu pandangan saya," kata Azmin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ke Lima Dewan Negeri Selangor yang ke 13, di Bangunan Annexe, di sini, hari ini.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu, Abdul Hadi menegaskan PAS tidak bersama Pakatan Harapan kerana bercanggah dengan dasar dan konsepnya manakala di dalamnya ada parti dan pemimpin yang terus menerus menentang Islam secara terbuka, bersembunyi atau oportunis.
Ini sekaligus mengulangi pendirian parti itu untuk tidak menyertai PH malah BN dalam menghadapi PRU14.
Ahli Parlimen Marang itu turut menyifatkan menyertai BN laksana memikul biawak hidup walaupun sebahagian kalangan mereka yang mencipta masalah dalam BN telahpun keluar dan menyertai PH.
"Bahkan menyertai PH biawaknya lebih besar dan penyakitnya lebih parah," kata Abdul Hadi.
Mengulas lanjut mengenai pemutusan hubungan PAS terhadap PKR di Selangor, Azmin menyifatkan ia sebahagian daripada proses demokrasi.
Jelasnya, PKR tidak pernah memutuskan hubungan dengan parti-parti politik yang dianggapnya sebagai 'sahabat'.
"Kita menghormati perbezaan tetapi tidak sampai memutuskan hubungan begitu rupa.
"Kita masih yakin dan percaya keperluan kepada satu muafakat yang utuh itu amat penting bagi menyelamatkan negara dan rakyat keseluruhannya, itu pendirian PKR," katanya.
Category
TV Saluran - TV Channel
Sign in or sign up to post comments.
Be the first to comment